Wednesday, July 27, 2011

Puasa untuk Allah...

Dari Abu Hurairah ia berkata : Rasulullah bersabda :
"Setiap amal manusia terdapat pahala yang terbatas kecuali puasa, sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku dan Aku (Allah) yang membalasnya, dan puasa adalah perisai. Dan pada hari puasa janganlah kalian mengatakan atau melakukan perbuatan keji dan janganlah membuat gaduh, jika salah seorang kalian mencelanya atau membunuhnya maka hendaklah mengatakan : Sesungguhnya aku sedang berpuasa , demi Dzat yang jiwa Muhammad berada ditangannya benar-benar bau mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah dari bau kasturi, bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang ia gembira dengan keduanya : jika berbuka ia gembira, dan jika bertemu Allah dengan puasanya ia gembira".

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkat membaca Basmallah

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah s.w.t. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah s.w.t. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah s.w.t., dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Kisah lima perkara aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "YaAllah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa:
"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri.
Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya.

Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berfirman Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Al-Quran sebagai pembela:

Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah s.a.w.memberitahu tentang kelebihan Al-Quran." Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Belajarlah kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. "Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Quran : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari." Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu: "Adakah kamu Al-Quran?" Lalu Al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah s.w.t. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Quran."

Tuesday, July 26, 2011

Cinta yang Sejati...

dulu...
aku selalu mengadu...
siapakah yang telah Kau ciptakan untukku...

hingga aku lupa...
Kau sentiasa ada...
memahami segala luahan rasa...

lalu siapa lagi yang aku perlukan...?
sedang Kau sentiasa menjadi teman...
fikirku kemudian...

tapi ku mengerti...
Kau ciptakan teman hati...
bagi setiap diri...
sebagai penguat nurani...

namun cinta pada teman hati itu...
harapnya janganlah melebihi cinta padaMu...




Monday, December 27, 2010

Anas mencium keharuman Syurga Firdaus

ANAS bin Nadhar adalah pemuda Muslim yang sangat cekal dan kuat dalam menghadapi apa jua rintangan. Beliau merupakan salah seorang pengikut Rasulullah di medan peperangan.

Beliau sangat gagah ketika bertempur di medan perang ibarat seekor singa yang garang. Semua musuh yang datang akan ditentang dan dibunuh habis-habisan.

Anas pernah melakukan kesilapan pada masa lampau iaitu tidak dapat bersama Rasulullah untuk pergi berjuang di medan peperangan Badar. Apabila mengenang kembali zaman yang lampau itu, beliau betul-betul terasa menyesal dan ingin menebus kembali kesilapannya itu.

Anas ingin terus berjuang menentang musuh pada peperangan yang akan datang. Betapa bersungguh-sungguhnya niat Anas itu, sehingga beliau menemui Rasulullah dan berkata: "Saya tidak menyertai engkau, ya Rasulullah ke medan perang Badar, sewaktu mula pertama kali engkau berhadapan dengan musuh Allah. Sekarang saya berhasrat benar, semoga nanti Allah akan memperkenankan saya memerangi kaum musyrik dan membuktikan betapa besarnya keimanan saya".

Apabila sampai masanya, pergilah Anas bersama-sama tentera Muslimin ke medan pertempuran di Bukit Uhud. Maka berlakulah pertempuran antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy.

Mereka saling berasak-asak, tikam menikam, panah memanah, sehingga lari bertempiaran musuh-musuh Allah itu dalam keadaan ketakutan. Di saat yang sangat kritis itu, Anas berteriak dengan suara yang lantang,

"Tuhanku, ampunilah aku daripada kesalahan yang telah diperbuat oleh mereka yang telah lari dan sucikanlah diriku daripada kekejian yang diperbuat oleh kaum Musyrikin."

Pada peringkat pertama, tentera Muslimin telah menemui kemenangan. Tetapi disebabkan kesalahan yang mereka lakukan iaitu dengan turun dari Bukit Uhud untuk mengutip harta yang ditinggalkan pihak musuh menyebabkan pihak musuh berpatah balik dan menyerang hendap mereka dari belakang.

Keadaan yang tidak bersedia ini menyebabkan tentera Muslimin ditentang habis-habisan.

Dalam keadaan begitu, Anas terus maju ke hadapan menentang pihak musuh yang datang secara mengejut itu.

Lalu beliau menghampiri Saad bin Muaz dan berkata: "Lihat ya Saad, itulah sayap-sayap syurga yang telah kelihatan. Aku telah mencium keharuman kasturinya di bawah tanah Uhud".

Anas sudah mengetahui bahawa ajalnya sudah hampir menjemputnya di perang Uhud. Beliau terdengar seolah-olah bidadari syurga sedang memanggil-manggilnya. Kemudian Anas terus mengayunkan pedangnya ke kiri dan ke kanan memerangi musuh sedaya upaya.

Ketika itu, Anas berada di tengah-tengah pasukan musuh dan api peperangan semakin hebat membakar. Tiba-tiba terdengar satu suara daripada tentera Quraisy mengatakan Rasulullah telah dibunuh.

Mendengar laungan itu, Anas menjadi lemah dan hancurlah hatinya. Malah menambahkan lagi hasratnya untuk syahid di medan peperangan. Beliau semakin marah dan terus menentang musuh sambil hatinya berkata, "Muhammad telah pergi dan tidak kembali lagi. Muhammad telah berangkat ke hadrat Tuhan-Nya, dan biarlah aku orang yang mula-mula mengikuti jejaknya dan berjuang di bawah kibaran benderanya".

Setelah itu, gugurlah pahlawan Anas dengan luka-luka pada jasadnya lebih daripada 80 tempat kerana terkena pedang, panah dan tombak musuh.

Hancur berkecai jasadnya sehingga tidak dikenali lagi, kecuali adik perempuannya yang dapat mengecam mayat Anas melalui jari-jari tangannya. Begitulah nasib Anas bin Nadhar yang telah syahid sebagai pahlawan Islam yang berani.

Friday, August 27, 2010

"Patutkah kamu menyuruh orang berbuat baik sedangkan kamu sendiri lupa membuatnya (kewajipan itu)? Sedangkan kamu tahu kandungannya di dalam kitab!"

Al-Baqarah:44